Bagaimana Bercinta Cara Islam

Islam
adalah agama yang syumul. Sebuah agama yang lengkap. Islam tidak
mungkin menyekat fitrah manusia yang sememangnya ingin menyayangi dan
ingin disayangi. Untuk apa Allah menciptakan manusia berfitrah seperti
ini jika manusia akan diperintahkan untuk memebunuh fitrahnya itu?
Ajaran Islam telah diturunkan oleh Allah untuk memasang bingkai agar
kemahuan manusia itu dapat disalurkan dengan cara yang terbaik. Selain
itu, Islam menutup rapat jalan kemaksiatan dan membuka seluas-luasnya
jalan menuju ketaatan serta memberi dorongan kuat ke arah
perlaksanaanya.Rasulullah pernah mengecam salah seorang sahabat yang
bertekad untuk tidak bernikah. Ini merupakan salah satu bukti bahawa
Islam mengakui fitrah manusia yang ingin cinta-menyintai ini.
Percintaan
dalam Islam hanyalah selepas termetrainya sebuah ikatan pernikahan
antara dua insan, iaitu setelah bergelar suami isteri. Islam telah
menggariskan panduan dalam menuju ke arah gerbang perkahwinan ini.
Ustaz Hassan Din telah memberikan pendapatnya mengenai hal ini dalam
Al-Kulliyah di TV3 pada 28 Julai 2006, iaitu pada hari Jumaat. Tajuk
perbincangan Al-Kulliyah kali itu agak menarik ; Jodoh.
Apabila
diminta memberikan pendapat beliau, beliau telah mengatakan yang cara
masyarakat sekarang telah lari daripada syariat yang sepatutnya.
“Sebenarnya dalam Islam, apabila seseorang lelaki itu telah berkenan
dengan seorang wanita dan ingin menjadikan teman hidupnya, sepatutnya
lelaki itu berjumpa dengan wali si perempuan tadi untuk menyatakan
niatnya untuk masuk meminang. Tetapi masyarakat sekarang silap. Mereka
terus berjumpa dengan yang empunya diri dan terus menyatakan niat
hatinya. Kemudian mereka bercinta, berjanji sumpah setia dan
segala-galanya. Sedangkan ibubapa mereka langsung tidak tahu akan
perhubungan mereka ini. Setelah sekian lama bercinta, apabila ingin
melangsungkan perkahwinan, emak dan ayah tak bersetuju dengan
mengeluarkan pelbagai alasan,” terang beliau.

Namun
begitu, Ustaz Hassan Din menegaskan bahawa bertunang bukan merupakan
lesen yang membenarkan kedua-dua pasangan bermesra-mesra seperti suami
isteri. Bertunang hanyalah untuk saling mengenali antara satu sama lain
dan bukannya untuk bercinta. Pasangan yang telah bertunang tetap tidak
boleh keluar berdua-duaan tanpa ditemani oleh ahli keluarga. Selagi
belum bernikah, mereka tetap dua insan yang bukan mahram dan masih perlu
manjaga batasan-batasan Islam seperti yang telah dibincangkan sebelum
ini. Dan jika dalam tempoh pertunangan itu didapati kedua-dua pasangan
ini tidak secocok atau tidak serasi, maka pertunangan bolehlah
diputuskan secara baik melalui persetujuan kedua-dua belah pihak.
Ada pula yang berkata,
“Cara ini untuk lelaki bolehlah. Untuk perempuan, tak sesuai. Nanti
orang kata, ‘macam perigi mencari timba’, ‘wanita tidak bermaruah’ dan
macam-macam lagi.” Sabar dahulu saudari. Sebenarnya ini merupakan
pemikiran songsang yang telah diterapkan dalam masyarakat Melayu kita.
Sebetulnya kita berbalik kepada Islam itu sendiri. Bagaimana Islam
mengajarkan wanita yang berkeinginan bernikah, menyuarakan keinginanya?
Mari kita kaji sirah. Bukankah perkahwinan teragung antara
junjungan kita, Nabi Muhammad SAW dan Khadijah dimulakan dengan
Khadijah menzahirkan keinginannya? Ketika mengetahui sifat-sifat
mulia yang dimiliki oleh Nabi Muhammad, beliau merasakan yang dia tidak
akan menjumpai sesiapa yang lebih layak untuk dijadikan suaminya
melainkan Nabi Muhammad. Oleh itu Khadijah menyuarakan keinginannya
melalui perantaraan Nafisah binti Manbah agar merisik Nabi Muhammad
untuk dirinya. Tawaran itu disambut aik oleh Muhammad dan dengan tidak
membuang masa, baginda terus menyatakan hasrat hatinya yang mulia itu
kepada bapa-bapa saudaranya dan mereka pun terus melamar Khadijah
melalui bapa saudaranya, ‘Amru bin Asad. Perkahwinanpun dilaksanakan
dengan selamatnya.* Begitulah yang diajarkan dalam sirah. Jadi, tiada
salahnya wanita yang memulakan dahulu. Bukankan itu lebih mulia,
menyuarakan keinginan dan kebersediaan untuk menjalankan sunnah baginda
Rasulullah SAW? Cuma caranya biarlah sesuai dengan masyarakat kita.
Jika kita seseorang perempuan itu sudah mempunyai calon suami yang baik
dan soleh, suarakan sahaja kepada ibu bapa, agar dapat menghubungi
pihak keluarga si lelaki itu. Biar orang tua yang menguruskan, kita
cuma mencadangkan. Kalau kedua-dua pihak setuju, maka pihak lelaki
boleh masuk meminang.
(*Fiqih Sirah, Jilid 1. Muhammad Sa’id Ramadhan Al-Buti. Bab Perniagaan Dengan Harta Siti Khadijah Dan Perkahwinan Baginda)
Lihat,
betapa indahnya Islam mengaturkan perjalanan hidup penganutnya. Cukup
teratur dan sitematik. Cara ini dapat mengelakkan daripada berlakunya
maksiat dan perkara-perkara lain yang tidak diingini. Dalam masa yang
sama, ia menuju kepada pembentukan keluarga bahagia yang diidamkan oleh
manusia serta diredhai oleh Allah. Inilah percintaan dalam Islam, iaitu
selepas perkahwinan. Insya-Allah kalau segalanya dilakukan dengan niat
ikhlas kerana Allah dan bukan atas dasar nafsu dan keduniaan
semata-mata, Allah akan mempermudah urusan kita itu.
Untuk
kita yang masih menimba ilmu, tidak perlulah bersusah-susah mencari
jodoh sekarang. Jodoh di tangan Allah, pasti bertemu jua dengan
taqdirnya. Sekarang kita mempunyai matlamat yang lebih penting iaitu
mendapatkan kecemerlangan dalam pelajaran dan menunaikan tanggungjawab
kita sebagai muslim. Banyak lagi tanggungjawab yang perlu kita pikul dan
bercinta bukanlah sesuatu yang perlu buat masa sekarang. Berusahalah
menjadi muslim dan muslimah sejati serta mengamalkan Islam dalam
kehidupan kita. Akan tetapi, bagi mereka yang merasakan diri sudah mampu
untuk memikul tanggungjawab berumah tangga, mampu memberi nafkah zahir
dan batin, maka bernikahlah. Tiada salahnya bernikah ketika belajar.
Itu adalah lebih mulia daripada mereka yang ber’couple’, dan memuaskan
nafsu mengikut telunjuk syaitan. Ikutilah cara-cara menuju pernikahan
yang telah diterangkan di atas. Sekali lagi ditegaskan, bercinta sebelum
berkahwin dan ber’couple’ adalah menghampiri zina dan hukumnya adalah HARAM
No comments:
Post a Comment